(1) Memori Pagi

 

    Lebuh Raya Utara Selatan, atau dikenali sebagai PLUS, hari itu agak lengang dari kedua-dua arah. Sebuah kereta Toyota Vios merah yang menghala ke arah selatan, bergerak pada kelajuan sederhana 90 – 100 km per jam. Farhan memandu dengan tenang. Isterinya, Murni, lena dibuai mimpi di tempat duduk sebelah pemandu sejak bermulanya perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Melaka. Begitu juga dengan kedua-dua anak mereka, Haikal dan Uqashah yang kepenatan di atas carseat masing-masing. Sudah menjadi kebiasaan bagi kedua-dua anak kecil itu bermain bersama datuk dan nenek mereka di Kuala Lumpur yang dikunjungi lebih kurang sekali atau dua kali dalam sebulan. Dalam ketenangan pemanduan itu, banyak perkara yang difikirkan oleh Farhan. Kisah-kisah silam, keadaan semasa dan tentang masa hadapan.

 

    Ada satu perkara yang apabila Farhan mengenangkannya, air matanya pasti mengalir. Kadangkala tanpa disedari. Kebiasaannya Farhan cuba mengelak mengingati perkara itu di khalayak ramai, bimbang tangisannya disedari oleh sesiapa. Farhan seorang yang tidak suka menunjukkan kesedihannya kepada orang lain, selagi boleh. Lantaran itu dia selalu cuba menyembunyikannya dengan senyumannya. Dia memang dikenali sebagai orang yang gemar senyum sejak usianya kecil. Namun senyumannya itu bukanlah senyum kambing sehingga menyebabkan orang sekeliling berasa pelik atau takut, tetapi senyum yang cukup dikatakan sebagai sedekah. Dia pernah ditanya oleh rakan-rakannya, bagaimana dia mampu senyum dan nampak tenang biarpun dalam keadaan genting atau sukar. Jawapannya, dia sendiri tidak pasti. Mungkin kerana maksud nama “Farhan” itu ialah gembira. Jadi dia sentiasa cuba menjadi gembira untuk diri sendiri dan sesiapa yang berada di sekelilingnya.

 

***********************************************************************************

    Seawal jam 4 pagi, Zakiah telah pun bangun dari tidur. Begitu juga dengan suaminya, Ismail. Pada ketika kebanyakan manusia masih dalam mimpi indah, Zakiah dan Ismail telah memulakan rutin harian menyiapkan juadah nasi lemak, kuih-muih dan membuat persiapan bagi membuka warung mereka yang hanya terletak berhadapan rumah yang mereka. Lebih kurang pukul 5.15 pagi, kesunyian langit dipecahkan dengan bacaan tarhim yang dimulakan oleh bilal kampung tersebut, menandakan waktu subuh akan menjelang tidak lama lagi. Farhan dan adiknya, Haikal, masih berada di atas tilam masing-masing biarpun tersedar seketika mendengar tarhim itu. Namun, tidur adalah agenda yang lebih utama pada masa itu.

    “Farhan! Fahmi! bangun! Dah pukul 5.30 ni! Cepat bangun, mandi, solat, siap-siap nak pegi sekolah dan tolong mak abah sikit ni!”, jerit Zakiah. Begitulah skrip harian Isnin hingga jumaat yang akan mereka berdua dengari. Biarpun begitu, sama ada setelah azan atau apabila jam menghampiri pukul 6, barulah mereka berdua akan bangun dan melaksanakan arahan skrip itu tadi. Ajaibnya, mereka akan bangun sendiri dan tidak perlu dimarah-marah kerana terlewat ataupun terus tertidur. Mungkin kerana telah dibiasakan sejak bermulanya mendaftar di sekolah kebangsaan yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari rumah meraka. Farhan di kelas darjah 3 manakala Fahmi pula darjah 1. Mereka berdua mempunyai seorang abang dan 3 orang kakak, tetapi ada yang sedang melanjutkan pelajaran ke universiti atau berada di sekolah berasrama. Jadi, hanya tinggal Farhan dan Fahmi yang berada di rumah, sebagai anak-anak yang dijaga Zakiah dan Ismail. Seusai urusan kendiri, solat subuh dan bersarapan, mereka berdua akan menolong pasangan itu seperti menyusun bungkusan nasi lemak di dulang atau membuka pintu warung. Kebiasaannya, hanya itu sahaja yang diharapkan Zakiah dan Ismail terhadap mereka kerana mereka masih kecil dan perlu bersedia untuk ke sekolah dengan menaiki basikal masing-masing. Ismail pula sudah mula menebar roti canai selepas sahaja solat subuh, maka Zakiah yang lebih banyak menguruskan persediaan mereka berdua di samping mula memberikan layanan terhadap seorang dua pelanggan yang telah tiba di warung mereka seawal pagi untuk bersarapan sebelum memulakan tugasan di kampung seperti mengambil hasil sawit, menanam nanas dan lain-lain. Begitulah antara senario pagi yang biasanya sibuk dihadapi oleh sekalian manusia di mana sahaja berada di pelusuk dunia ini. Yang berbeza mungkin pada latar belakang pekerjaan, sosio-ekonomi, tempat dan faktor-faktor yang lain.

    Sudah lebih kurang 5 tahun Ismail dan Zakiah menjalankan perniagaan warung di sebuah kampung kecil itu yang terletak di Semerah, Batu Pahat, Johor. Sebelum itu, Ismail bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Dia telah mula merantau ke kota Singa itu sejak umurnya remaja lagi. Selepas berkahwin dengan Zakiah, beberapa bulan sekali, Ismail akan pulang ke kampung untuk melihat keadaan isteri dan anak-anaknya. Baginya, itulah pekerjaan yang mampu dilakukan untuk mencari rezeki bagi menanggung kehidupan mereka sekeluarga. Dengan kelulusan pendidikannya yang hanya sehingga tingkatan 3 di sekolah menengah, pada masa itu, agak sukar untuknya menjawat jawatan di jabatan kerajaan yang pastinya lebih menjamin pendapatannya. Terdapat juga beberapa perusahaan kebun kelapa sawit dan getah yang bersaiz sekitar 2 atau 3 ekar, namun tawaran gaji yang ditawarkan hasil daripada kerja buruh binaan lebih menguntungkan. Tidaklah mengejar untuk menjadi kaya-raya, asalkan keperluan harian dan perbelanjaan minimum persekolahan dapat dipenuhi. Selama hampir 15 tahun Ismail berulang-alik dari Johor-Singapura bagi menjalankan tanggungjawabnya menyempurnakan keperluan fizikal sebuah keluarga. Dalam tempoh itu, Zakiahlah yang banyak menguruskan keluarga dan anak-anak di rumah. Dari terbitnya matahari sehinggalah kesemua anak-anaknya melelapkan mata, dialah yang memastikan segala keperluan anak-anak di rumah dipenuhi.

    


Farhan dan Fahmi masing-masing mengayuh basikal lama mereka untuk ke sekolah setiap hari. Itulah basikal yang turut digunakan oleh abang dan kakak-kakak mereka suatu masa dahulu untuk ke sekolah. Boleh dikatakan mereka semua adik-beradik telah belajar berdikari semenjak kecil. Ismail dan Zakiah setiap hari telah bangun awal untuk menyiapkan keperluan perniagaan mereka pada setiap pagi, jadi tidak dapatlah mereka menghantar Farhan dan Fahmi ke sekolah. Begitu juga dengan kebanyakan rakan-rakan mereka di kampung, semuanya ke sekolah sendiri kerana ada ibu dan bapa mereka yang perlu ke kebun kelapa sawit atau ladang getah seawal pagi untuk mencari rezeki. Kadangkala, terlintas juga perasaan cemburu dalam hari Farhan apabila melihat beberapa rakannya dihantar oleh ibu atau bapa mereka dengan motorsikal atau kereta, namun perasaan itu tidaklah terlalu membara. Lagipun menaiki basikal sendiri pada kebanyakan masa membuatkan dia berasa bebas dan boleh mengurus masa sendiri untuk pergi atau pulang dari sekolah. Lagipun, jika hujan terlalu lebat, Ismail tetap akan berusaha menghantar Farhan dan Fahmi ke sekolah dengan kereta lama ayahnya. Kereta itu pada kebanyakan masa sentiasa sahaja ada masalah atau rosak, membuatkan Farhan sentiasa berbisik dalam hatinya, “alahai la kereta, janganlah asyik rosak lagi!” apabila berada di dalam kereta itu sama ada menuju ke sekolah atau ke mana-mana sahaja.

Farhan dan Fahmi tiba di sekolah. Masing-masing memarkir basikal mengikut keselesaan sendiri. Farhan gemar untuk memarkir di hujung bangunan manakala Fahmi pula yang berhampiran dengan pagar utama sekolah. Hal ini disebabkan lokasi kelas mereka yang berbeza. Suasana sekolah memang menyeronokkan. Farhan dan Fahmi masing-masing terus bergerak ke kelas untuk meletakkan beg yang digalas dan bejumpa dengan rakan-rakan mereka sebelum loceng jam 7.30 pagi dibunyikan untuk perhimpunan pagi. Sinar matahari kian mencerahkan langit dan awan yang sebelumnya berwarna gelap. Burung-burung keluar dari sarang-sarangnya untuk mencari makanannya, sepertimana manusia yang memulakan harinya mencari rezeki, dan juga bagi Farhan dan Fahmi mencari ilmu untuk bekalan hidup masa hadapan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kembali

Sudah lama tidak menulis... akan kembali menulis...

setahun di colmar yang akanku tinggalkan..